AKSI penjaring gol kemenangan Chelsea, Salomon Kalou (kiri) pada suku akhir pertama di Lisbon, minggu lalu. - AFP
LONDON - Jurulatih sementara Chelsea, Roberto Di Matteo memberi amaran kepada pemainnya bahawa Benfica masih mampu memberikan ancaman untuk menghalang impian Blues mara ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara.
Skuad Di Matteo menjadi pasukan pilihan untuk mara ke saingan separuh akhir menentang Barcelona atau AC Milan, selepas Salomon Kalou menjaringkan gol tunggal untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Benfica pada perlawanan suku akhir pertama.
Benfica memberi sedikit ancaman kepada Blues di Portugal tempoh hari dan ia diakui oleh Di Matteo.
Malah kelab Lisbon itu mampu untuk melakukan kejutan di Stamford Bridge, esok terutama jika Chelsea gagal memperkasakan bahagian pertahanan seperti yang berlaku ketika menentang Aston Villa, Sabtu lalu.
Chelsea melepaskan dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir sebelum mereka mencatat kemenangan 4-2 ke atas Villa.
Sehubungan itu, pengendali dari Itali itu berazam untuk memperkasakan rangkaian pertahanannya menjelang pertemuan dengan Benfica.
"Kami tidak akan berasa selesa. Hanya 50 peratus daripada tugas ini telah selesai kerana perlawanan suku akhir berlangsung dua kali.
"Kami harus berada pada kedudukan terbaik tetapi Benfica akan bertambah kuat jika mereka beraksi jauh dari tempat sendiri dan mampu menjaringkan gol jadi kami tidak boleh berasa selesa.
"Saya rasa kami telah beraksi dengan baik dalam tempoh tiga minggu sebelum ini, kami telah membuktikannya dalam beberapa perlawanan.
"Reaksi pemain selepas Villa dapat menyamakan kedudukan sangat memberangsangkan kerana mereka kembali bangkit," katanya.
Ketenangan dan kepimpinan Di Matteo membantu Chelsea kembali ke landasan terbaik dengan mencatatkan enam kemenangan daripada lapan perlawanan sejak dia mengambil alih tugas tersebut daripada Andre Villas-Boas. - AFP