Rabu, 4 April 2012

Masa depan 35 pemain import masih samar


Image © Arep Kulal 
Penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar (tengah) membuat percubaan ke arah pintu gol Kedah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Arena.my) - Seramai 35 pemain import dari 26 pasukan yang didaftarkan sejak 22 Disember tahun lalu bakal ditentukan nasib sama ada kekal atau terpaksa meninggalkan Liga Malaysia berdasarkan prestasi selama tiga bulan ini.
Jendela perpindahan pemain import yang dibuka sejak 2 April lalu menyaksikan beberapa pasukan mencari pengganti seperti Sarawak yang kini sah menggunakan khidmat pemain Cameroon Joel Epalle manakala T-Team bakal menurunkan pemain import barunya Marco Tulio Lopez Silva dari Brazil pada perlawanan menentang Selangor PKNS Jumaat ini.
Setakat ini tiga pemain import sudah digugurkan iaitu Zacharia Simukunda dari T Team, Lazar Popovic dari Perak dan Vedran Muratovic dari Sarawak.
Simukunda yang diberi peluang jurulatih T-Team Yunus Alif sebelum ini gagal membuktikan kemampuan sebenarnya dengan hanya menjaringkan 1 gol sepanjang penampilannya bersama T-Team.
Manakala pemain berasal dari Serbia, Lazar Poporvic turut disingkirkan selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam 12  penampilannya bersama Perak.
Vedran Muratovic yang sebelum ini bermula dengan baik pada aksi pertamanya bersama Sarawak gagal memikat hati Robert Alberts untuk mengekalkan khidmatnya.
Bagaimanapun, penyerang Kedah Hamidan Mohammed masih belum diputuskan statusnya selepas kontrak asalnya tamat pada 31 Mac lalu kini menunggu kata putus Persatuan Bola Sepak Kedah sama ada mahu terus mengekalkan khidmatnya.
Sementara itu, Keita Mandjou menjadi rebutan 2 pasukan ternama Perak dan Kelantan yang bersaing menagih sentuhan pemusnah pemain berusia 32 tahun itu.
Apapun tempoh untuk mendapatkan khidmat pemain import terus di buka sehingga 16 April ini dan di harap peluang itu digunakkan sebaik pasukan yang bertanding untuk menyenarai pemain yang berkualiti.