Ahad, 8 April 2012

Penyokong serang polis

  
  • Foto
    ANGGOTA FRU parah selepas dibelasah oleh penonton dalam perlawanan Sarawak menentang Kelantan, malam tadi.
  • Foto
    KELIHATAN dua penyokong Sarawak bertindak liar memukul anggota FRU di Stadium Negeri, malam tadi.
SEORANG anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikejarkan ke hospital akibat parah dibelasah dua orang penyokong fanatik pasukan bola sepak Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, dua orang anggota FRU cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong Sarawak dan Kelantan namun berakhir dengan keadaan ngeri apabila dua penyokong itu bertindak ganas dengan menumbuk salah seorang anggota FRU bertubi-tubi sehingga pengsan. Salah seorang penyerang dengan gaya rambut Mohawk bagaimanapun turut sama campur tangan dengan cuba menghalang seorang anggota FRU lain dalam memberi bantuan kepada rakannya yang sudah tidak sedarkan diri itu.

Kekecohan mula berlaku apabila sekumpulan penyokong kedua pasukan bola sepak Sarawak dan Kelantan itu saling mencemuh antara satu sama lain sebelum pergaduhan mula tercetus.

Kira-kira 30 anggota dikejarkan ke kawasan tempat duduk penonton dalam cubaan meleraikan pergaduhan yang mungkin akan berakhir lebih teruk.

Bagaimanapun dua orang penyerang itu berjaya melepaskan diri dan dipercayai berjaya ditangkap kira-kira 15 minit kemudian pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, kelekaan benteng pada lewat permainan menyebabkan kemenangan yang berada hampir dalam genggaman terlepas apabila Sarawak terpaksa berkongsi mata selepas seri 1-1 menentang Kelantan, malam tadi. 
Beraksi di depan 20,000 penyokong, skuad Bujang Senang sudah mendahului seawal minit ke-12 apabila sepakan percuma ketua pasukan, Guy Bwele melencong masuk menerjah pintu gol pelawat yang dikawal Mohd Shahrizan Ismail.

Bagaimanapun, Kelantan yang beraksi longlai separuh masa pertama bangkit menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan tetapi usaha mereka gagal sehinggalah pada minit ke-85 apabila Norfarhan Mohamad melepaskan rembatan padu untuk gol penyamaan.

Tuan rumah sepatutnya meraikan kemenangan pada minit ke-90, tetapi pemain import baru mereka yang pernah beraksi bersama kelab German, VfL Bochum dan Liga Greek, Panathinaikos, Joel Epalle gagal menampan bola ke dalam gawang.

Kedudukan itu bagaimanapun menyaksikan Kelantan kekal di tempat kedua, manakala Bujang Senang kekal di pertengahan liga.

Liga Super: Lions XII kekal pendahulu

logo liga super












PASUKAN Lions XII dari Singapura terus mengekalkan kedudukan pendahulu Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.
Gol tunggal jaringan penyerang Khairul Nizam pada minit ke-42 sudah memadai untuk skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu untuk terus mengekalkan kedudukan liga dengan mengutip 30 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Saingan terdekat mereka, Kelantan hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 ketika bertemu Sarawak di Stadium Negeri Sarawak di Kuching.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import mereka dari Cameroon, Guy Bwele pada minit ke-12 sebelum pemain tengah skuad Kijang, Mohd Nor Farhan Muhammad menyamakan kedudukan pada minit ke-85.
Selangor pula kembali menemui sentuhan berbisa mereka selepas membelasah Terengganu, 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Skuad Penyu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Ismail Faruqi selepas menerima hantaran silang daripada Ashaari Samsudin.
Tersentak dengan gol itu, gergasi Merah kembali mengatur strategi permainan dan hasilnya, penyerang import mereka dari Croatia, Bosko Balaban menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti.
Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu terus mengganas dengan menghasilkan lima lagi gol menerusi K. Soley (minit ke-36), Mohd Amri Yahyah (minit ke-38 dan ke-81), Mohd Safiq Rahim (minit ke-46) dan Famirul Asraf Sayuti (minit ke-87).
Felda United dan Perak turut mengikuti jejak langkah Selangor selepas menumpaskan lawan masing-masing di laman sendiri pada perlawanan malam tadi.
Felda United menumpaskan Kedah, 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-50 dan pemain importnya Mickael Antoine Curier pada minit ke-83.
Perak pula mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh dengan dua jaringan skuad Seladang dijaringkan oleh Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-40 dan Mohd Rafiuddin Roddin pada minit ke-64 sebelum pemain import pelawat Emmanuel Okine mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-90.
Negeri Sembilan pula hanya mampu mencatatkan keputusan seri, 2-2 ketika bertemu Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Skuad Rusa membuka tirai jaringan pada minit ke-51 menerusi pemain importnya dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona sebelum kapten pasukan, Mohd Shukor Adan menggandakan jaringan enam minit kemudian.
Sabah bagaimanapun bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Shahrudin Yakup pada minit ke-74 dan Ronny Harun tiga minit kemudian. - Bernama

Selangor belasah Terengganu 6-1


Image © Arep Kulal 
Aksi Pemain import Selangor Bosko Balaban ketika perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur, 14 Februari 2012. (Gambar arkib).

KELANA JAYA, (D5) - Selangor mengamuk di Stadium MBPJ Kelana Jaya apabila membelasah Terengganu 6-1 dalam perlawanan Liga Super.
Pasukan The Red Giants mempamerkan aksi yang memberangsangkan dengan setiap gerakan bola bertenaga serta penyudah yang tepat.
Terengganu terlebih dahului membuka jaringan menerusi hantaran Ashaari Shamsudin yang disambar Ismail Faruqi sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan G. Jeevanathan pada minit kesembilan.
Tersentak dengan gol itu, Selangor mengatur serangan dan berhasil di minit ke-24 apabila tandukan Fitri Shahzwan disambar Bosko Balaban untuk merembat masuk menewaskan Sharbinee Alwi untuk kedudukan 1-1.
Selangor menambah jaringan kedua 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila Solihin Abdullah merembat masuk gol cantik untuk Selangor 2-1.
Dua minit selepas itu, kapten Selangor Amri Yahyah menyepak masuk bola hantaran Solihin untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Selangor menambah jaringan keempat pada waktu kecederaan separuh masa pertama menerusi Safiq Rahim, yang meluru untuk merembat masuk bola hantaran Amri.
Pada separuh masa kedua, Amri menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi gerakan memecah perangkap offsaid untuk kedudukan 5-1, 10 minit sebelum wisel penamat.
Selangor melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan keenam lima minit sebelum waktu sebenar tamat dengan percubaan Surendren terkena tiang sebelum Famirul menyumbat masuk gol untuk Selangor 6-1 Terengganu.