Ketua pasukan Lions XII, Shahril lshak (kiri) menghalang pemain Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Lions menang 4-2. - BERNAMA
SEREMBAN - Ngauman Lions XII menggegarkan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi apabila membaham Negeri Sembilan 4-2 dalam saingan Liga Super, semalam.
Lebih malang, tuan rumah yang bermula dengan rentak perlahan dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat hasil rembatan bek tengah, Safuwan Baharuddin pada minit ke-13.
Separuh masa pertama permainan yang didominasi Lions XII sekali lagi menyaksikan penyerang skuad Singapura, Khairul Nizam Mohd. menghukum kealpaan barisan pertahanan tuan rumah sebelum mengelecek penjaga gol Farizal Marlias untuk menyumbat gol kedua pada minit ke-20.
Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk bangkit pada minit ke-31 hasil jaringan G. Mahathevan bagi merapatkan jurang gol.
Namun begitu, asakan bertubi-tubi Lions XII ke gawang tuan rumah terus membuahkan hasil apabila ketua pasukan lawan, Shahril Ishak berjaya menyumbat gol ketiga Singapura minit ke-41.
Pada separuh masa kedua, Shahdan Sulaiman menambah perit Negeri Sembilan selepas menguis masuk hantaran Harris Harun pada minit ke-69 permainan.
Ketua pasukan skuad Rusa, Shukor Adan kemudian berjaya menanduk masuk bagi menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-83.
Pada masa kecederaan minit ke-92, penjaga gol tuan rumah diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.