SAFEE Sali (kiri) dianggap telah membuat keputusan yang matang dalam soal rumah tangganya dan wajar memberikan tumpuan penuh kepada karier bola sepaknya terutama dengan kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya.
KUALA LUMPUR - Pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim menganggap penyerang No. 1 Malaysia itu sudah membuat keputusan yang matang dalam soal rumah tangganya dan kini wajar memberikan tumpuan penuh kepada karier bola sepaknya terutama dengan kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya.
Beliau turut menasihatkan pelbagai pihak termasuk media agar tidak mengungkit lagi sebarang kisah silam Safee dan bekas isterinya, Sabarina Yusof setelah kedua-dua pihak menyelesaikan kes mereka secara baik dan muafakat selain demi menghormati keputusan mahkamah.
Zakaria berkata, sebagai orang paling rapat khususnya dari segi karier bola sepak, beliau juga sentiasa menasihatkan Safee, malah isterinya supaya terus mempertahankan rumah tangga mereka selain mendapatkan bantuan ibu bapa kedua-dua belah pihak.
"Kini sudah sewajarnya Safee berikan tumpuan kepada karier bola sepaknya kerana sebarang kegagalan mencapai prestasi yang diperlukan di kelab Pelita Jaya, Indonesia, akan turut menjejaskan imejnya sebagai pemain Malaysia," katanya.
Difahamkan pagi semalam, Safee sudah kembali menyertai Pelita Jaya yang kini menduduki tempat kelapan daripada 18 pasukan dengan perlawanan 24 Mac lalu menyaksikan jaringan hatrik pertamanya di luar Malaysia dengan empat gol ketika mereka membelasah Gresik United 6-1.