Rabu, 4 April 2012

Chelsea skuad pilihan mara ke separuh akhir


Image © AFP 
Para pemain Chelsea meraikan jaringan yang dihasilkan oleh Frank Lampard dalam aksi menentang Bolton Wanderers. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Arena.my) - Chelsea akan menerima kunjungan Benfica dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dan pengendali sementara Chelsea Roberto Di Matteo mengingatkan pemainnya supaya tidak pandang rendah ke atas lawan mereka.
Anak buah Di Matteo menjadi pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir untuk bertemu Barcelona atau AC Milan selepas jaringan Salomon Kalou dalam aksi pertama minggu lalu memberikan The Blues kelebihan 1-0.
Bagaimanapun Di Matteo mengingatkan barisannya terutama di bahagian pertahanan agar tidak mudah leka,  seperti dalam perlawanan menentang Aston Villa di Liga Perdana Inggeris.
Di Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Chelsea mempunyai rekod sempurna bermain di laman sendiri, justeru momentum itu mahu dikekalkan Di Matteo untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir.
Benfica pula kini dilanda kecederaan beberapa pemain utama mereka. Ezequiel Garay dan Miguel Vitor tidak akan diturunkan dan pengurus Benfica Jorge Jesus terpaksa menurunkan beberapa pemain muda seperti Luis Martins, Andre Almeida dan Ruben Pinto.
Namun, Jesus masih optimis pasukannya mempunyai kekuatan untuk mengecewakan The Blues di England.
Chelsea akan menentang Benfica di Stamford Bridge awal pagi Khamis jam 2.30 pagi dan anda di rumah boleh menyaksikan perlawanan ini secara langsung di saluran ESPN.