Selasa, 3 April 2012

Arema FC sukar ramal peluang bertemu Kelantan


Image © Arep Kulal 
Penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar (tengah) membuat percubaan ke arah pintu gol Kedah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. (Gambar arkib).

KOTA BHARU, (Bernama) - Arema FC, yang bakal bertemu Kelantan dalam saingan Piala AFC malam esok, sukar meramalkan peluang pasukan itu yang dilihat memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Ketua jurulatihnya Dejan Antonic mengakui masih kurang memahami corak permainan Kelantan namun berharap kesebelasan utamanya bermain tenang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
"Kesemua pemain kami bebas daripada kecederaan dan mampu berbuat sesuatu ketika menentang Kelantan malam esok.
"Apa yang saya tahu semua pasukan dalam Kumpulan H ini iaitu pasukan dari Myanmar, Vietnam dan Malaysia merupakan pasukan yang sangat bagus dan kit a tidak tahu boleh menang atau kalah (perlawanan malam esok)," katanya pada sidang berita bersama pasukan Kelantan di sini, hari ini.
Turut hadir ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak, ketua pasukan Arema FC Legimin Raharjo dan ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi.
Malam esok adalah perlawanan ketiga bagi peringkat kumpulan itu, dengan  kedua-kedua pasukan masing-masing mencatatkan satu keputusan seri dan satu kalah.
Kelantan sebelum ini seri tanpa jaringan menentang Navibank Saigon dari Vietnam dan tewas 1-3 kepada Ayeyawady United dari Myanmar.
Arema FC dari Indonesia itu pula seri 1-1 dengan Ayeyawady dan tewas 1-3 dengan Navibank.
"Kami dan Kelantan berada pada kedudukan sama. Pasukan kami yang mempunyai tiga pemain kebangsaan Indonesia perlu bekerja lebih keras malam esok dan sudah tentu kami mahu menang," kata jurulatih dari Serbia itu.
Bagi Bojan, bermain di gelanggang sendiri tetap memberi peluang terbaik kepada Kelantan dan berharap penyerang import Nwoha Onyekachi dan Nurshahrul Idlan Talaha pulih daripada kecederaan dan mampu mewakili pasukan.
Beliau mengharapkan penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan dan menonton dengan semangat kesukanan.
Sementara itu, Mohd Badhri mengharapkan pemain yang lain bermain dengan kesungguhan dan mahukan kemenangan itu dihadiahkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang bakal berdepan tindakan disiplin oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok.
Bagi ketua pasukan Arema FC, Legimin berharap rakan-rakan sepasukannya juga dapat bermain dengan baik tanpa tekanan.
Pegawai Media KAFA, Wan Badri Wan Omar mahu penyokong Kelantan dapat menyaksikan perlawanan itu dengan penuh semangat kesukanan kerana AFC mempunyai peraturan yang sangat ketat jika melanggar peraturan itu.
"Kita telah bersiap sedia dengan kawalan keselamatan di dalam stadium dan di luar stadium. Ini perlawanan bertaraf antarabangsa dan Kafa yakin semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Harga tiket yang mula dijual hari ini berharga RM15 untuk tempat terbuka manakala di astaka RM30.

Wan Jamak puas hati prestasi Hamidan


Image © Arena.my 
Wan Jamak Wan Hassan (Gambar) mengakui kebangkitan Hamidan membantu pasukannya mencipta kemenangan bermakna dalam saingan Liga Super menentang Perak. (Gambar arkib).

ALOR SETAR, (Bernama) - Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berpuas hati dengan prestasi pemain import dari Ghana Mohammed Hamidan yang berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super menentang Perak malam tadi.
Kedah yang menang 3-0 ke atas Perak menyaksikan Hamidan yang dikritik sebelum ini kerana gagal menyerlah menjaringkan gol pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan pada minit 84.
Wan Jamak mengakui kebangkitan Hamidan membantu pasukannya mencipta kemenangan bermakna malam tadi ke atas Perak sekaligus dapat mengutip tiga mata penuh bagi membolehkan Kedah melonjak berada pada kedudukan terbaik musim ini.
"Saya amat bersyukur kerana menang di tempat sendiri malam ini (tadi) walaupun pemain Kedah keletihan kerana terpaksa beraksi dalam tiga perlawanan dalam masa seminggu iaitu dua Piala FA pada Sabtu dan Selasa lepas.
"Mereka menunjukkan ketahanan mental yang cukup baik dan semangat keinginan untuk menang merupakan ramuan yang terbaik untuk memastikan Kedah menang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Darul Aman malam tadi.
Wan Jamak berkata keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah turut membuatkan anak buahnya bersemangat mempamerkan aksi terbaik di hadapan kira-kira 20,000 penonton setia.
Pada saingan Piala FA Selasa lepas Hamidan mula menunjukkan persembahan baik apabila menundukkan pasukan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan membantu pasukan itu memperoleh dua gol pada minit ke-64 dan 81 dan layak ke separuh akhir menentang Kelantan.

Kelantan belasah Felda 5-1


Image © Arep Kulal 
Penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar (tengah) membuat percubaan ke arah pintu gol Kedah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Kelantan terus kekal mempertahankan kedudukan di persada Liga Super apabila mencatat kemenangan besar dengan membelasah Felda United 5-1 di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu.
Skuad bimbingan Bojan Hodak kini mengumpul 26 mata dengan kelebihan dua mata di hadapan pencabar dekat Lions XII dari Singapura.
Pemain import Kelantan, Nwoha Onyekach menjadi wira skuad Red Warriors apabila menyumbangkan dua gol pada minit ketiga dan minit ke-45.
Gol lain disumbangkan Mohd Nor Farhan Mohamad pada minit ke-65, Indra Putera Mahayuddin (minit ke-67) dan ketua pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-81).
Manakala gol tunggal pasukan pelawat disumbangkan oleh Azrul Ahmad pada minit keempat.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan Lions XII mengutip tiga mata setelah mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team.
Gol pasukan Lions XII dijaringkan oleh Shahril Ishak pada minit ke-50 dan Shahdan Sulaiman pada minit ke-86 (penalti), manakala gol tunggal T-Team disumbangkan oleh Zairo Anuar pada minit ke-53.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah seri 1-1 dengan Selangor. Gol Sabah hadir seawal minit ketiga hasil jaringan Michael Baird namun kegembiran pasukan tuan rumah tidak kekal lama apabila pemainan pertahanan Selangor, P.Gunalan berjaya meyamakan kedudukan pada minit ke-59.
Terengganu juga seri 0-0 dengan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.
Sarawak pula menewaskan Selangor PKNS 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

FAM digesa tangguh perbicaraan Annuar Musa


Image © Arena.my 
Tan Sri Annuar Musa (Gambar) baru-baru ini membuat kenyataan yang mengkritik skuad kebangaan tetapi menafikan ia merujuk kepada individu tertentu. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan Darulnaim) hari ini memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan perbicaraan dan hukuman terhadap Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.
Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad berkata penangguhan perbicaraan itu adalah demi kesejahteraan dan ketenteraman perpaduan orang Melayu terutama bagi penyokong setia skuad The Red Warrior.
Annuar, yang juga presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), akan menghadapi Jawatankuasa Tatatertib FAM Rabu ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, atas dakwaan mengkritik prestasi skuad kebangsaan, kendalian Datuk K.Rajagobal, menerusi media.
Difahamkan penyokong The Red Warrior akan mengadakan demonstrasi di Wisma FAM pada pukul 1.15 petang, Rabu ini, bagi menunjukkan sokongan terhadap Annuar dan mendesak perubahan pucuk pimpinan badan induk bola sepak negara itu.
"FAM sebagai badan gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu mengambil kaedah menyelesaikan konflik Annuar tanpa melibatkan orang awam kerana tidak mahu dieksploitasikan oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang mahu melagakan institusi beraja dan orang Melayu.
"Saya mendapat tahu, penyokong baju merah itu (the Red Warriors) terdiri daripada pelbagai pihak. Jadi saya harap bagi tidak mengeruhkan keadaan, adalah lebih baik pihak FAM menangguhkan perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
MPM dan Pakatan Darulnaim juga memohon agar Annuar dan FAM tidak menggunakan media sebagai saluran untuk menyatakan sebarang ketidakpuasan hati menyentuh isu dalaman FAM kerana bimbang akan mengelirukan banyak pihak terutama pihak penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya tidak halang Annuar mencabar FAM tetapi jangan menggunakan orang awam terutamanya orang Melayu...dan press (wartawan) juga jangan terlibat," katanya.
MPM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berperanan sebagai pelindung hak orang Melayu sementara Pakatan Darulnaim merupakan NGO yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dan mempererat hubungan silaturrahim di kalangan anak-anak Kelantan yang berada di luar negeri tersebut.

Safee pertahankan resepi Rajagobal


Image © AFP 
Penyerang Malaysia, Mohd Safee Sali (kanan) berusaha melepasi pemain Singapura ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Julai 2011. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Arena.my) - Penyerang sensasi negara, Safee Sali yakin skuad negara akan dapat mempertahankan Piala AFF Suzuki musim ini bersandarkan resepi sama yang digunakan pengendali K. Rajagobal.
Bagi Safee, apa yang dilakukan Rajagobal adalah jelas untuk memastikan tidak hanya "Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha mahupun Kharul Fahmi Che Mat" yang boleh disandarkan menjelang saingan Piala Suzuki hujung tahun ini.
"Keputusan jurulatih untuk terus mencuba pemain baru adalah satu keputusan yang bagus. Kita dalam bola sepak ini tidak boleh sahaja mengharapkan saya, Khairul Fahmi dan Norshahrul ataupun Safiq Rahim.
"Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan harus mencari gandingan-gandingan baru untuk kita mengekalkan Piala Suzuki pada tahun ini," katanya.
Malah Safee yakin Rajagobal dapat mencari ramuannya dan mereka akan berdiri teguh dibelakang jurulatih kebangsaan itu.

KFA nafi singkir Hamidan


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menafikan khabar angin bahawa penyerang import dari Ghana, Hamidan Mohammed disingkirkan.
Setiausaha Kehormat KFA Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata khabar angin kononnya KFA memberi surat penyingkiran kepada Hamidan seperti yang didakwa oleh segelintir penyokong Kedah dalam laman sosial Facebook adalah tidak benar. Beliau berkata Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak KFA akan meneliti laporan prestasi pemain import Kedah itu pada mesyuarat Rabu ini bagi menentukan nasib sama ada Hamidan akan kekal bersama Kedah. Katanya hanya pengurus pasukan Datuk Khazali Din dan ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan berhak menentukan perkara itu kerana mereka yang lebih tahu dan arif mengenai pemain dalam pasukan mereka. "Setakat ini Hamidan dapat menyesuaikan diri dengan pasukan Kedah dan ini memberi keyakinan baru kepada Wan Jamak terhadapnya (Hamidan) dalam usaha memburu kemenangan selepas ini," katanya.

Hamidan sebelum ini dikritik banyak pihak berikutan gagal beraksi dengan baik dan dikatakan akan disingkirkan tetapi mula menunjukkan prestasi yang baik apabila berjaya menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan terakhir. Dia meraih masing-masing dua gol dalam perlawanan kedua suku akhir Piala FA ketika mengalahkan T-Team 2-1 pada 27 Mac lalu dan ketika menumpaskan Perak 3-0 dalam saingan Liga Super kelmarin. Selain Hamidan, Kedah mempunyai seorang lagi pemain import iaitu pemain tengah, Safi Abd Elfatah.