Sabtu, 7 April 2012

Hamidan tekad balas kepercayaan Kedah





HAMIDAN Mohamed kini menampilkan wajah ceria selepas mendapat berita yang khidmatnya masih diperlukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hingga akhir musim ini.
Justeru, sebagai membalas jasa kepercayaan pihak pengurusan, pemain berasal dari Ghana itu menanam tekad untuk sekali lagi membolosi gawang lawan bagi membantu Kedah pulang dengan tiga mata daripada kunjungan ke Stadium Hang Jebat, bertemu Felda United, malam ini.

“Saya memang lega kerana keputusan KFA itu memberikan peluang kepada saya untuk terus membuktikan kewibawaan, bermula dengan Felda United,” katanya yang menganggap empat jaringan setakat ini, termasuk dua dalam saingan Piala FA bagi menamatkan kemarau golnya, sebagai titik tolak ke arah persembahan lebih bertenaga.
Sambil mengaku tertekan dalam tempoh beberapa hari lalu apabila KFA mengambil keputusan untuk mencuba berapa pemain import baru bagi mengambil alih tempatnya, Hamidan berkata, tindakan itu mungkin ada hikmah kerana mendorongnya beraksi dengan lebih baik bagi membuktikan keupayaan sebenar.

Katanya, selepas segala-galanya kini kembali seperti biasa, tumpuannya adalah memastikan Kedah terus melonjak dengan berada di kedudukan lebih baik di tangga liga dengan memainkan peranan membuatkan kehadirannya bersama skuad Hijau Kuning dirasai.

Dia berkata, gandingannya dengan rakan penyerang Khyril Muhymeen Zambri semakin baik dan mereka akan terus berusaha memastikan Kedah terus menang.
“Semangat pasukan juga tinggi dan ditambah congakan strategi menjadi ketua jurulatih (Wan Jamak Wan Hassan), saya pasti kemenangan akan berpihak kepada kami,” katanya yang menyifatkan kehadiran semula tonggak pertahanan, Mohd Fauzi Nan akan dapat memantapkan kembali pertahanan skuad Kenari.

MSL bakal tergugat?




DALAM tempoh tidak sampai seminggu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kehilangan dua individu penting dalam Malaysia Super League (MSL) Sdn Bhd, Tan Sri Annuar Musa dan Stuart Ramalingam.
Annuar yang mengambil alih tugas Pengerusi MSL sebelum ini, Khairy Jamaluddin terpaksa melepaskan jawatan itu gara-gara hukuman penggantungan dua tahun enam bulan manakala Stuart meletakkan jawatan selaku Ketua Pegawai Operasi (CEO), tiga hari sebelum hukuman terhadap Annuar diputuskan Rabu lalu.

Ketiadaan Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM untuk menerajui MSL serta Stuart yang mengangkat kaki kerana mendapat tawaran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi jawatan Pengarah Kejohanan Kelab AFC tampak bakal memberi kesan kepada organisasi itu yang diwujudkan untuk mengumpul dana penajaan serta bertanggung jawab dalam pemasaran bola sepak tempatan yang ketika ini mula mendapat perhatian.
Sama ada suratan atau kebetulan insiden ini berlaku, tugas FAM untuk segera mencari calon berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Ketika diajukan soalan mengenai perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad secara ringkas berkata: “Saya sudah mempersembahkan perkara ini kepada Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah), pengumuman akan dibuat minggu depan.” Menerusi MSL, FAM sebelum ini berjaya mendapat penajaan lumayan sebanyak RM220 juta oleh Astro Media bagi tempoh empat tahun merangkumi hak penyiaran bernilai RM30 juta setiap tahun mulai 2011 dan tambahan RM100 juta bagi kegiatan promosi oleh stesen satelit berbayar itu yang termeterai sebelum ini.

Selain soal mencari duit, MSL juga bertindak merangka pelan transformasi Liga Malaysia (Liga-M) yang belum mencapai taraf terbaik dengan Annuar sebelum ini menganggap Liga-M masih belum menepati kriteria liga profesional yang ditetapkan badan bola sepak serantau Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan AFC.
Justeru beberapa agenda sudah digariskan MSL sebelum ini bagi mencapai taraf liga profesional dan antara yang ditekankan adalah tiga pemain import setiap pasukan, termasuk seorang dari negara Asean bermula 2012, Pengurusan pasukan dilakukan badan bebas selewat-lewatnya pada 2013, membantu negeri memasarkan jenama pasukan dan mencari penaja musim depan, meluaskan siaran langsung ke saluran televisyen percuma dan ke rantau Asean serta cadangan pemberian imbuhan kepada pasukan yang terbabit dalam siaran langsung di televisyen.

Bagi Stuart, beliau sedia membantu ‘orang baru’ dalam MSL sekiranya khidmatnya masih diperlukan untuk meneruskan agenda itu.
“Pelan kami tahun ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan MSL, FAM dan pasukan serta pembangunan penyokong. Saya sedia menyerahkan pelan yang dirancang sebelum ini kepada individu baru yang dilantik kelak.

“Saya tidak tahu siapakah yang akan mengisi kekosongan jawatan ini tapi pada pendapat saya, FAM perlu segera mencari pengganti bagi melancarkan perjalanan MSL,” katanya.

Irfan tak rela terlepas mata




PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak rela berputih mata apabila melayan kunjungan bekas pasukan bimbingannya musim lalu, Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam ini.
Hanya tiga mata menjadi sasarannya bagi memastikan Merah Kuning tidak terus ketinggalan dalam persaingan Liga Super selepas hanya mencatatkan empat kemenangan dalam 12 perlawanan walaupun turun tempang apabila kehilangan tiga tonggak utama kerana penggantungan Mohd Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy dan Azidan Sarudin.

“Kemenangan wajib, bermula perlawanan ini bagi membolehkan kami sekurang-kurangnya berada di tiga tempat teratas Liga Super. “Pemain perlu sedar dan saya sudah mengingatkan mereka, saingan sudah hampir memasuki pusingan kedua,” kata pengendali kelahiran Kelantan itu.
Selangor yang kini berada di tangga keenam Liga Super gagal mempamerkan aksi konsisten apabila sekadar mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir menentang LionsXII dan Sabah.

“Tiada guna jika kami menguasai sebahagian besar perlawanan tapi gagal memanfaatkan peluang. Pemain di jentera serangan perlu memanfaatkan peluang dimiliki. “Malah saya turut memberi peringatan kepada penyerang import kami (Bosko Balaban) agar meningkatkan lagi prestasinya,” katanya.

Irfan Bakti turut menggesa anak buahnya supaya mengambil kesempatan daripada faktor keletihan yang mungkin mempengaruhi skuad kendalian Mat Zan Mat Aris kerana beraksi dalam Piala AFC menentang kelab Singapura, Tampines Rovers, Rabu lalu selain lawan yang turut kehilangan beberapa tonggak utama kerana kecederaan.
“Namun mereka mempunyai motivasi tinggi dengan kemenangan di Piala AFC itu selain kehadiran penyerang import berbisa, Francis Forkey Doe yang mampu mengubah perlawanan,” katanya mengenai pasukan yang kini mengumpul 21 mata itu.

Bola Shebbie: Murahnya jawatan tinggi dalam FAM





WOW! Begitulah reaksi saya apabila membaca laporan akhbar Tan Sri Annuar Musa digantung dua setengah tahun kerana meluahkan pendapat mengenai pasukan kebangsaan. Sekali lagi kontroversi tercetus membabitkan arena sukan bola sepak negara kita.
Kontroversi timbul apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempertahankan atau melindungi salah seorang ahli Majlis Tertinggi mereka sendiri. Tiada perlindungan untuk Timbalan Presiden. Tiada perlindungan bagi Pengerusi MSL Sdn Bhd. Tiada perlindungan buat Timbalan Presiden Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan serta Pengerusi Pembangunan bola sepak wanita.

Apa yang berlaku bukan membabitkan persoalan apa yang diperkatakan tapi betapa murahnya jawatan itu dalam pentadbiran bola sepak di negara kita.
Presiden Fifa, Sepp Blatter mendabik dada dengan laungan ‘Football Family’ tapi di Malaysia, seorang ahli Majlis Tertinggi dianak tiri. Jelas tiada semangat kekeluargaan dalam FAM. Sukan bola sepak sebenarnya membabitkan emosi, ekspresi dan pendapat.

Kritikan penting untuk mencapai tahap serta taraf yang lebih tinggi. Kritikan juga penting sebagai batu loncatan ke arah kejayaan. Pendapat pula menunjukkan minda yang aktif. Ada pendapat baik dan ada pula pendapat buruk tapi apa yang lebih teruk tiada pendapat langsung. Sekiranya keputusan seri dengan Filipina dianggap keputusan baik, maka kasihan bagi mereka yang berpendapat sebegitu. Kita sudah menunjukkan satu peningkatan dalam bola sepak antarabangsa tapi itu hanya satu permulaan dan kasihan juga kepada mereka yang berpendapat prestasi tinggi boleh dicapai dengan sekadar memetik suis.

Selepas menjuarai Piala AFF pada 2010, adakah kita menunjukkan prestasi sebagai juara? Adakah wujud kesinambungan di kalangan pemilihan skuad? Salah satu permintaan seorang jurulatih bola sepak adalah ‘menepati jangkaan’ (manage expectations) dan ini yang menjadi masalah. Penonton serta peminat mengharapkan kemajuan, tidak kira betapa kecil. Penonton dan peminat boleh terima sekiranya pasukan melalui perubahan tapi apabila prestasi sebuah pasukan turun naik maka pendapat akan disuarakan.
Kembali kepada penggantungan Tan Sri Annuar Musa, kini timbul persoalan adakah kejayaan Kelantan di bawah naungan beliau mengganggu pemikiran mereka yang berada dalam FAM? Adakah Tan Sri Annuar Musa dianggap ‘lebih besar daripada bola sepak’ (bigger than football) di negara kita? Seterusnya, kini wujud kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di MSL Sdn Bhd berikutan ketiadaan Stuart Ramalingam tapi perlu ingat, hanya mereka yang tidak mempunyai pendapat saja dibenarkan memohon.

Tanpa Tan Sri Annuar Musa, ada kekosongan sebagai Pengerusi MSL tapi jawatan ini juga memerlukan mereka yang tidak ada pendapat, untuk memohon.
Syukurlah bola sepak di negeri saya, Johor, kini diketuai Tengku Mahkota Johor yang berwibawa dan mempunyai pendapat.



Selangor layan Terengganu tanpa tiga tonggak utama




SELANGOR menerima kunjungan Terengganu untuk aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini tanpa diperkuat tiga tonggak utama - Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy dan Azidan Sarudin - yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning. 


Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun tidak bimbang dengan ketiadaan mereka apabila menganggap tiga pengganti - Nasriq Baharom, Bunyamin Umar dan Safiq Rahim - mampu menggalas tugas untuk mengutip tiga mata penuh. “Dua perlawanan berturut-turut seri 1-1 dengan Lions XII dan Sabah yang sepatutnya kami boleh menang kerana menguasai permainan dan memperoleh banyak peluang jaringan. Tapi apabila gagal mencapai keputusan, sudah tentu penyokong dan pihak pengurusan marah.“Tiada sentimen peribadi bertemu bekas pasukan, Terengganu kerana apa yang lebih penting ialah tiga mata penuh kerana kami tak pernah kalah bertemu pasukan di kelompok teratas liga,” kata Irfan ketika ditemui di Padang SUK, Shah Alam, petang semalam. 

Namun Irfan tidak mahu pemain menganggap keletihan Terengganu yang mengharungi jadual padat Liga Super, Piala FA dan Piala AFC, sebagai kelebihan kerana lawan itu tidak tewas dalam empat aksi terakhir termasuk menewaskan Tampines Rovers 1-0 di Stadium Jalan Besar, Rabu lalu.

Piala AFC: Ghaddar hero The Red Warriors


kelantan












HATRIK Mohammed Ghaddar menghidupkan peluang The Red Warriors untuk terus bersaing pada saingan Kumpulan H, Piala AFC apabila menewaskan Arema 3-0 di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Turun dengan azam hanya tiga mata penuh dapat meneruskan saingan peringkat kumpulan, anak buah Bojan Hodak terlebih dulu mendahului pelawat menerusi jaringan Ghaddar pada minit ke-21.
Separuh masa kedua, kelab berpangkalan di Malang, Jawa Timur berkenaan melakukan beberapa pertukaran bagi mempertajamkan jentera serangan dalam usaha menyamakan kedudukan.
Namun, belum sempat kelab yang mendapat jolokan, Singo Edan merobek gawang tuan rumah, Mohammed sekali lagi menyengat seawal minit pertama separuh masa kedua untuk melebarkan jaringan tuan rumah pada minit ke-46.
Ghaddar menambah derita pelawat dengan gol peribadi ketiganya malam ini - pada minit ke-89 untuk memastikan tiga mata penuh bagi tuan rumah.

Tentera tewaskan Polis 2-0


Image © Arep Kulal 
Penyerang ATM Marlon Alex James merebut bola dengan pemain NS Betaria FC Mohd Saufi semasa perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor pada January 9, 2012. (Gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mempertahankan kedudukan sebagai peneraju Liga Perdana apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dengan kemenangan itu, skuad kendalian B.Satiananthan kini mengumpul 25 mata, mendahului dua mata di depan pencabar utama, iaitu Pahang, selepas 11 perlawanan.
Dua gol ATM disumbangkan Marlon Alex James pada minit ke-29 dan Bruno Marteloto pada minit ke-67 (penalti).
Pahang pula terus mengekori rapat ATM apabila mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan besar menumpaskan Negeri Sembilan Betaria 4-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Pemain import dari Russia Eduard Sakhnevich menjadi wira pasukan itu apabila menyumbang dua gol pada minit ke-20 dan minit ke-65 manakala Azamuddin Mohd Akil dan R.Gopinathan masing-masing menyumbat satu gol pada minit ke-39 dan minit ke-52.
Di Stadium Sultan Ibrahim, pasukan tuan rumah menang tipis 3-2 ketika menentang USM FC dan gol MP Muar dijaringkan Abdul Rayjal Abdul Jalil seawal minit ketiga, Mohd Alafi Mahmud (minit ke-46 dan minit ke-69) manakala gol pelawat dihasilkan Adam Abdul Malik pada minit ke-20 dan Kaye Edrisar (minit ke-88).
Johor pula menewaskan Pos Malaysia 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, menerusi jaringan Juan Muriel Orlando pada minit ke-60, Ahmad Tharmini Saiban (minit ke-75) dan Muhamad Tuan Iskandar Jamaluddin (minit ke-90).
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pasukan Sime Darby menewaskan Johor MBJB 3-0.
Gol Sime Darby dijaringkan Mohd Shoufiq Kusaini pada minit ke-46, Zamri Hassan (minit ke-57) dan Sengbah Kennedy (minit ke-64).
Harimau Muda mencatat kemenangan pertama ketika beraksi di Stadium Utama Negeri, Kangar apabila menumpaskan Perlis 1-0 hasil jaringan Muhammad Akmal Ishak pada minit ke-26.
Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Super malam ini, Selangor PKNS menewaskan T-Team 4-1.