KELAB penyokong Kelantan menyifatkan hukuman tanpa rayuan yang dikenakan terhadap Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa sebagai tidak adil.
Pengerusi Kelab The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, hukuman penggantungan jawatan dua tahun enam bulan yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, malah lebih kejam kerana tiada ruang untuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu membuat rayuan.
Katanya, hukuman itu seolah-olah sengaja mahu menjatuhkan kedudukan pasukan The Red Warriors kerana dalam tempoh hukuman itu, perancangan pasukan putih merah dari Pantai Timur itu akan terjejas.
“Hukuman itu tidak setimpal kesalahan yang dilakukan kerana mahkamah juga memberi peluang kepada pesalah membuat rayuan dan keputusan FAM ini seperti ingin menjatuhkan pasukan negeri.“Namun, kita harap penyokong bersabar kerana percaya, Tan Sri (Annuar Musa) pasti mempunyai rancangan seterusnya untuk menangani isu ini,” katanya.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mahizi Mahmood pula berkata, peminat bola sepak Kelantan sedih dan kecewa dengan tindakan FAM melarang Annuar membabitkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak.
Bagaimanapun, pihaknya berharap pemain menumpukan perhatian terhadap perlawanan bagi membuktikan The Red Warriors masih mampu bersaing.
