Selasa, 2 Ogos 2011

Penyokong Bola sepak Juga Perlu Profesional

PUTRAJAYA – Masanya sudah untuk penyokong bola sepak tempatan bersikap profesional sejajar peningkatan kualiti bola sepak negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, penyokong sentiasa berharap pemain bermain secara profesional ketika di padang, namun segelintir mereka juga tidak mampu berbuat demikian (bersikap profesional) apabila menonton di bangku stadium.
Ahmad Shabery berkata, penonton di stadium perlu berkelakuan baik, termasuk menghormati lagu kebangsaan negara lain.
“Penyokong harus sedar, jika ada yang berkelakuan kasar, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang akan didenda, dan kemenangan pasukan negara boleh ditarik balik,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar berhubung Laporan Pencapaian Piala Monsun 2010 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang penyokong bola sepak tempatan, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton pada perlawanan kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Singapura di Bukit Jalil, Khamis lalu. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan